Thursday, October 22, 2009

KULIAH 7: PROPOSAL PENYELIDIKAN

PROPOSAL PENYELIDIKAN
BIDANG PENYELIDIKAN
Bidang mestilah khusus bagi kajian yang akan dilaksanakan.
Contoh: Metodologi Dakwah, Tokoh Dakwah, Pembangunan Insan, Kaunseling Islam, Media Dakwah, Komunikasi Dakwah, Penulisan Dakwah, psikolosi Dakwah, Institusi Dakwah.

TAJUK
Pernyataan tajuk mestilah mampu menjelaskan persoalan pokok dan fokus kepada kajian yang hendak dilakukan
Contoh: Metodologi Dakwah Terhadap Orang Asli di Pos Tohoi, Gua Musang, Kelantan

LATAR BELAKANG MASALAH
Membincangkan situasi atau punca timbulnya masalah yang akan dikaji. Keberkesanan perbincangan ini boleh dilihat pada kemampuannya untuk menampakkan masalah berkenaan dan pentingnya untuk diteliti dan didalami. Bahagian ini akan memperlihatkan premis bagi kajian berkenaan.
Bagi menjelaskan bahagian ini, kajian perpustakaan perlu dilakukan.

PERNYATAAN MASALAH
Bahagian ini hendaklah merumuskan persoalan sebenar yang akan dikaji. Ia boleh dibuat dalam bentuk penjelasan tentang perkara yang akan menjadi tumpuan kajian, atau juga dalam bentuk senarai soalan.
Contoh: Apakah konsep Saudara Baru?
Bagaimanakah JAIS melaksanakan pendidikan untuk Saudara Baru

OBJEKTIF KAJIAN
Objektif menjelaskan halatuju kajian dan perkara-perkara yang diharap akan dicapai di akhir kajian nanti. Pernyataan ini hendaklah jelas, rasional serta relevan dengan masalah yang dikaji. Objektif hendaklah mampu dicapai dan pencapaiannya itu sewajarnya boleh diukur.
Contoh: menjelaskan tentang konsep Saudara Baru menurut Islam.

HIPOTESIS KAJIAN (JIKA PERLU)
Hipotesis ialah pernyataan sementara tentang hubungan antara unsur-unsur yang dikaji atau tentang cara penyelesaian bagi sesuatu masalah. Sekiranya calon merasakan bahawa pernyataan seperti ini diperlukan untuk kajiannya bagi mempastikan bahawa kajiannya akan lebih terfokus maka pernyataan berkenaan hendaklah dibuat secara jelas, padat dan tidak mengelirukan.

KEPENTINGAN KAJIAN
Calon hendaklah menjelaskan kepentingan dan sumbangan kajian yang akan dilaksanakan terhadap bidang yang dikaji seperti dapat memantapkan penjelasan tentang sesuatu hukum, memperkemaskan sesuatu kaedah, membetulkan sesuatu fahaman atau seumpamanya. Juga kepentingan dan sumbangannya dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh masyarakat.

DEFINISI TAJUK
Bahagian ini menjelaskan knsep-konsep utama yang terdapat pada tajuk yang dicadangkan itu. Penjelasan ini akan membantu penilai cadangan untuk lebih memahami tajuk serta skop kajian.

SKOP KAJIAN
Skop dimaksudkan ialah batasan kajian yang akan dijalankan. Penjelasan ini perlu bagi mempastikan penilai dapat memahami sempadan kajian berkenaan.
Contoh: Kajian akan mengedar 100 borang soal selidik kepada 100 orang saudara baru yang menyertai program dakwah di JAIS.

KERANGKA TEORI DAN ULASAN KAJIAN LITERATURE
Menjelaskan kerangka teori atau Theoretical framework yang akan menjadi asas bagi menyelesaikan atau menghuraikan masalah yang akan dikaji. Calon perlu membincangkan hasil-hasil kajian lepas yang berkaitan atau boleh dikaitkan dengan masalah yang dikaji terutama sekali untuk menjelaskan kedudukan kajian dalam konteks kajian-kajian yang pernah dilakukan.

KAEDAH PENGUMPULAN DATA/ METODOLOGI KAJIAN
Bagi kajian yang melibatkan pengumpulan data lapangan, calon hendaklah memberi penjelasan yang teliti dan meyakinkan tentang kaedah-kaedah yang akan digunakan. Bagi calon yang akan menggunakan kajian perpustakaan sepenuhnya, sumber data/ maklumat hendaklah dijelaskan.

KAEDAH ANALISIS KAJIAN
Menjelaskan perancangannya tentang cara bagaimana mengoleh data yang akan dikumpul untuk menjawab objektif kajiannya.
Kajian lapangan – analisis kuantitatif (SPSS)
Kajian teks - analisis kualitatif(Nvivo)

BIBLIOGRAFI
Senaraikan rujukan yang telah digunakan untuk menyediakan cadangan kajiannya. Senarai ini hendaklah meyakinkan penilai bahawa rujukan sewajarnya telah dibuat.

JADUAL KERJA PENYELIDIKAN
Satu jadual kerja perlu dilakukan supaya kajian itu berjalan dengan lancar mengikut jadual.
Contoh: (RUJUK PENSYARAH)

PELAKSANAAN PENYELIDIKAN
Sepanjang proses penyelidikan berjalan, hubungan dengan penyelia perlu dilakukan. Pastikan memperolehi nasihat secukupnya dalam menentukan bentuk penyelidikan yang akan dilaksanakan.
Penyelidikan sebenar tidak akan dapat dilakukan sepenuhnya jika cadangan penyelidikan belum dihalusi dan dipersetujui oleh penyelia.

Sebarang perubahan metod atau prosedur dalam kajian hanya dibuat dengan persetujuan penyelia
Semua perkembangan penyelidikan dan penulisan kajian hendaklah dimaklumkan kepada penyelia
Simpan data bahan kajian yang diperolehi bagi menghadapi kemungkinan ia diperlukan kemudian.

DRAF PERTAMA – draf pertama bab-bab penulisan hendaklah dihantar kepada penyelia dengan bertaip, bersih dan kemas serta dimasukkan dalam folder. Folder mesti bernama, bertajuk dan disertakan rangka kasar kajian.
DRAF KEDUA – semasa hantar draf kedua, draf pertama dikepilkan bersama. Ia dibuat dengan mengambilkira ulasan dan komen penyelia terhadap draf pertama.

GAYA PENULISAN – mengikut format penyediaan penyelidikan yang disediakan oleh APIUM. Segala ejaan, transliterasi, susunan ayat dan penggunaan istilah hendaklah betul.
PENGESAHAN TAJUK
Permohonan pengesahan tajuk perlu dilakukan sebelum semester bermula. Permohonan melalui borang perlu dibincangkan terlebih dahulu dengan penyelia yang dipilih masing-masing.

PENYERAHAN PENYELIDIKAN
Sebelum dijilid, draf terakhir keseluruhan kajian hendaklah ditunjukkan terlebih dahulu kepada penyelia untuk semakan terakhir. Penyerahan penyelidikan yang sudah dijilid hendaklah menggunakan borang yang disediakan oleh Jabatan. Penyelidikan mesti dihantar seminggu sebelum peperiksaan bermula atau dengan budi bicara dengan penyelia.

ETIKA PENYELIDIKAN
Penulisan mestilah hasil asal calon. Sebarang bentuk plagiarism dilarang sama sekali. Plagiarism ialah perbuatan mengambil idea, tulisan, data atau rekjaan orang lain dan mendakwa idea, tulisan, data atau rekaan itu adalah hasil ciptaan atau dapatannya sendiri. Plagiarism juga berlaku apabila idea, perkataan, tulisan, data, rekaan karya orang lain diguna tanpa mencatatkan rujukan karya asal atau penghargaan kepada penulis asal.

ABSTRAK
Abstrak mengandungi penjelasan ringkas berkenaan tujuan utama, masalah, kaedah dan penemuan utama kajian. Panjang abstrak lebih kurang 500 patah perkataan.

Latihan Tutorial
Siapkan satu proposal penyelidikan mengikut bidang yang dipilih.
Tajuk
Bidang
Objektif
Kepentingan
Metodologi penyelidikan

No comments:

Post a Comment